Eksplorasi al-Tawkīd sebagai Peranti Retorik melalui Leksikal ‘Sesungguhnya’ dalam Terjemahan al-Quran Bahasa Melayu Juzuk 30
DOI:
https://doi.org/10.22452/Abstract
Kajian ini meneliti penggunaan partikel tawkīd dalam juzuk ke 30 al-Quran al-Karim dan terjemahannya ke dalam bahasa Melayu dengan memberi tumpuan kepada padanan leksikal “sesungguhnya” dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman kepada Pengertian al-Qur’an. Dapatan kajian menunjukkan empat partikel tawkīd iaitu inna, qad, lām al-ibtidāʾ, dan nūn al-tawkīd yang diterjemahkan dengan leksikal “sesungguhnya” sebagai padanan unsur penegasan retorik bahasa Arab. Kajian ini menggabungkan teori Ilmu Maʿānī untuk menganalisis fungsi retorik, Teori Kesepadanan Baker bagi menilai hubungan antara teks sumber dan teks sasaran, serta teori Systemic Functional Linguistics (SFL) untuk meneliti fungsi ideasional, interpersonal dan tekstual dalam terjemahan. Hasil kajian juga mendapati partikel inna merupakan yang paling dominan dan konsisten dipadankan dengan “sesungguhnya” bagi mengekalkan penegasan mutlak, diikuti lām al-ibtidāʾ, qad, dan nūn al-tawkīd. Terdapat juga kes pengguguran (omission) dan penyesuaian semantik untuk mengekalkan kelancaran teks sasaran, walaupun kadangkala mengurangkan kesan retorik asal. Kajian ini menyimpulkan bahawa pemahaman mendalam terhadap fungsi retorik setiap partikel tawkīd amat penting untuk memastikan terjemahan al-Quran mencapai kesepadanan makna, kekuatan retorik dan keberkesanan dalam komunikasi.
Kata kunci: al-Tawkīd, sesungguhnya, terjemahan al-Quran, Ilmu Maʿānī, kesepadanan, SFL


